Friday, 13th February 2015
It's a new day in Amman! Malam tadi sebelum tidur, dah plan macam-macam dah untuk hari ni. Gigihlah kononnya nak bangun awal dan keluar jalan-jalan di sekitar kawasan hotel tempat kami tinggal di downtown Amman ni. Tapi, disebabkan penat mengharungi macam-macam drama semalam, dan keadaan dalam bilik ni boleh tahan sejuk, suhu kat luar pun lebih kurang 7° Celsius, memang sesuai sangatlah untuk terus berkelubung dalam selimut yang tebal tu, guling-guling dulu sampai puas, sebelum buat apa-apa yang patut.
Program kami di Jordan ni secara rasminya akan bermula pada hari Ahad, 15 Febuari 2015. Majoriti sukarelawan yang mengikuti program ni akan sampai ke sini pada hari Sabtu. Jadinya, untuk dua hari ni, buat kami yang dah tersampai awal ni, sekadar free and easy lah. Boleh pergi merambu-ramba ke sana-sini. Itu pun rasanya, rambu-ramba sekitar hotel ni je lah, mana yang boleh sampai dengan berjalan kaki je. Nak jalan jauh-jauh, kena fikir kos yang perlu dibelanjakan. Almaklumlah, poket masih nipis dan perangai kedekut tu masih ada. Hehe.. Selepas sarapan simple bubur nasi dengan sambal ikan bilis dan serunding, kami pun bersiap-siap untuk keluar. Itu pun dah pukul 10.30 pagi.
Bubur nasi je.. |
Biasanya, sebelum pergi mengembara ke mana-mana negara, memang aku akan buat research untuk tengok apa yang menarik kat tempat tu, macam mana nak pegi ke situ, kat mana boleh pergi makan-makan, dan sebagainya. Aku ni sebenarnya tak reti nak go with the flow, dah sampai baru fikir nak buat apa. Lagi-lagi kalau negara tu aku belum pernah jejak lagi. Lain lah kalau negara yang aku dah pergi lebih 10 kali tu. Kihkih.. Paling-paling, mesti ada senarai tempat nak pergi dan macam mana nak pergi. Nak pergi hari apa, bila, itu lain cerita. Cumanya, disebabkan trip ke Jordan ni, penganjur dah aturkan program dan aktiviti selama 8 hari (full dari pagi sampai ke malam), makanya aku tak ambik port sangat untuk buat apa-apa research. Memang dah set dalam kepala, nak relaks-relaks dan ikut je aktiviti yang dah disediakan. Tempat-tempat menarik kat Amman pun, aku tak check. Apa nak dibuat selama 8 hari kat Jordan ni pun, aku sekadar jeling-jeling je itinerarynya. Bila ternampak dalam itinerary ada tulis Petra, aku dah cukup happy dah. Lain-lain, malas nak fikir. Memang pasrah dan reda betul. Mungkin sebab dah tak larat nak fikir kot, sebab dah penat berabis susun itinerary untuk trip India yang baru kami redah ni.
Jadinya, bila terdatang awal dua hari ni, aku jadi gabra sikit. Alamak, kita nak buat apa ni? Nak pergi mana? Kita ni, kat Amman kat belah mana ni? Kat tengah bandar besar ke? Kat pinggir bandar ke? Kenapa tempat ni namanya downtown? Bukan city center ke? Serious, aku tak ada idea langsung. Yang aku tau, lagi dua hari semua sukarelawan kena berkumpul kat Art Hotel downtown Amman. Jadinya, kami cari dulu penginapan yang berdekatan untuk dua hari ni, dan apa nak dibuat, nanti baru fikir. Dah jadi macam ni, terpaksa lah gunakan go with the flow method tu, dengan harapan berbaloi lah aktiviti jalan-jalan pada hari ni. Tu lah, siapa suruh tak prepare apa-apa kan? Padan muka!
Kami keluar dari hotel dan menyusuri jalan besar menuju ke arah yang ku kirakan pusat kepada downtown Amman ni. Aku main teka-teka je, sebab tengok ramai betul orang berjalan menghala ke sana. Takkan ramai-ramai ni nak balik rumah kan? Jalan punya jalan, berjumpalah kami dengan pasar sayur-sayuran dan buah-buahan. Seorang sahabat pernah berkata, "Kita kalau nak kenal orang dan budaya sesuatu tempat tu, kita kena pergi pasar dia!" Betul lah juga apa yang dia cakap tu. Kat pasar macam ni lah kita boleh tengok macam-macam ragam manusia. Ok, masuk ke pasar lah kita!
Pasar sayur.. |
Pasar buah.. |
Bermacam jenis jeruk olives & cheese.. |
E'eh, ada Indomie.. |
Pasar ni letaknya di celah-celah bangunan, di sebuah alley yang agak sempit. Dari arah kami datang, kita akan berjumpa dengan sayur-sayuran dulu, lepas tu buah-buahan pulak, dah hujung-hujungnya ada rempah ratus, jeruk dan cheese. Kalau masuk ke dalam lorong yang lain pulak, ada jual barang-barang kering juga. Cumanya, kami tak ke sana. Aku lebih suka cuci mata tengok fresh farm produce yang dijual ni. Geram betul tengok sayur-sayuran dan buah-buahan yang gemuk-gemuk dan berwarna-warni menyala-nyala. Memang memanggil-manggil mintak dibeli. Tengah jalan-jalan tanpa arah tuju ni, tak payah ler nak cari pasal menyopping sana sini. Buat berat je nak mengangkut. Tapi, beli jugak keledek 2 ketul berharga JOD0.50. Hehe.. Kecik dan ringan je. Masih mampu untuk dibawa ke sana sini. Balik hotel nanti boleh rebus. Oihh, terbayang kenikmatan makan keledek rebus di kala musim sejuk beku ni. :P
Entah lorong-lorong mana entah yang kami lalu dalam pasar tu, alih-alih bila keluar ke jalan besar, terus nampak some sort of tinggalan zaman Roman di seberang jalan. Mula-mula tu macam pelik jugak, kenapa pulak ada ala-ala Romans kat sini. Ni lah ni, minat sejarah tapi tak mengaji sampai habis. Aku mengaku kan tak buat apa-apa research pasal Jordan. Tu yang bengap sikit. Hehe.. Kisahnya, zaman dahulu kala, Jordan ni memang termasuk dalam kawasan Roman Empire. Tu sebab boleh nampak kesan-kesan tinggalan Roman sana-sini. Dan, ruins yang kami nampak ni namanya The Nymphaeum, sebuah monumen berupa kolam air pancut awam yang dibina pada kurun ke-2. Kenapa nama dia Nymphaeum? Sebab monumen ni kononnya dibina untuk meraikan dan memperingati the Nymphs (Greek Goddess). Rasanya air pancut ni, tempat Nymphs turun untuk mandi-manda kot. Alah, macam kepercayaan orang-orang kita zaman dulu, kolam dan tasik jadi tempat mandi-mana puteri bunian, puteri kayangan bagai tu. Lebih kurang kot lah ni kan.
The Nymphaeum.. |
Katanya, Nymphaeum ni unik sebab ada ukiran Nymphs pada tiang-tiang yang ada tu. Tapi kubelek-belek dari jauh, tak nampak pulak Nymph nya tu. Dah hilang ditelan zaman kot. Tengok pun dari luar pagar je. Nak masuk ke dalam, entrancenya dikunci lah pulak. Mungkin ditutup untuk buat kerja-kerja baikpulih.
Kami berjalan lagi, dan berjumpa dengan sebuah masjid. Grand Husseini Mosque namanya. Asalnya, masjid ni dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab (634M-644M). Kagum, tak kagum? Punya lah lama kan asal usulnya? Kemudian, dibaikpulih pulak ketika zaman pemerintahan Bani Umaiyyah (661M-750M). Over the years, macam-macam terjadi pada masjid tu sehinggalah ia dibangunkan semula pada tahun 1924 ketika pemerintahan Raja Abdullah I, dan kekal sampai sekarang. Conclusionnya, boleh dikatakanlah masjid ni merupakan masjid tertua di Amman sebab tapaknya dah wujud sejak kurun ke-7 lagi.
Grand Husseini Mosque.. |
Dalam satu-satu masa, masjid ni boleh menampung sehingga 2600 orang jemaah. Cumanya, kami tak berkesempatan pun nak masuk ke dalam masjid, sekadar tengok dari luar je. Hari Jumaat kan. Orang ramai dah mula berkumpul di perkarangan masjid untuk solat Jumaat. Timing tak berapa nak sesuai untuk jenguk sana sini. Nanti lah, kita datang lagi.
Dari Grand Husseini Mosque, kami menyeberangi jalan dah berjalan menghala ke arah Art Hotel. Nak tengok lah jugak kan, di manakah gerangannya lokasi penginapan kami for the next 8 days. On the way tu, aku perasan kesemua bangunan di kiri kanan jalan, warnanya coklat-coklat, kuning-kuning belaka. Dari semalam lagi sebenarnya aku dok perhatikan. Macam sendu je bila tengok. Nampak macam berdebu, kotor pun ya. Setelah diGoogle, bangunan-bangunan lama ni kebanyakannya diperbuat daripada batu kapur (limestone). Kisahnya, sekitar Amman ni banyak kuari batu kapur. Disebabkan tu, batu kapur menjadi bahan yang popular untuk membuat bangunan. Memang dari dulu lagi macam ni. Kiranya, dah memang tradisi negara Jordan lah ni. Warna batu original, tak perlu nak cat bagai. Aku tepek je lah ye gambar-gambar bangunan yang berjaya disnap sepanjang kami berjalan kaki tu.
Downtown Amman.. |
The oldest townhouse in Amman.. |
Art Hotel. Our accommodation for the next 8 days.. |
Bank of Jordan. Bakal tempat mencucuk duit.. |
Kedai Shawarma.. |
Book stall. Macam comel je.. |
Banyak kedai tutup.. |
Tangga ni je kot yang aku nampak warna-warni sikit.. |
Dah penat berjalan tu, kami singgah masuk ke dalam sebuah coffee shop. Kononnya, nak lepak-lepak lah sekejap minum kopi panas, setelah kebekuan berjalan-jalan kat luar. Dah tengahari dah pun, kuharapkan ada lah matahari, panas lah sikit berbanding dengan pagi tadi. Tapi suhu sekadar naik 1° je. 8° Celsius masih sejuk weh! Dah pakai thermal wear pun masih terasa sejuknya sampai ke tulang. Kalau berterusan macam ni sampai ke penghujung program, boleh jadi masalah ni. Maunya bad mood sepanjang masa, nak memerap dalam bangunan je kerjanya nanti. Huhu..
So, coffee shop ni sunyi sepi je, tak ada pelanggan. Seorang pakcik yang dah agak berusia, tersengih menjemput kami masuk. Seperti yang diduga, no Englishee hokkay. Hehe.. Tapi pakcik ni pandai, terus tunjuk menu yang ada English translation. Oleh itu, kita gunakanlah skill tunjuk-menunjuk dan pesanan minuman pun berjaya dilakukan. Masing-masing order Turkish Coffee uols. Tak ada Jordanian Coffee, kita orderlah Turkish Coffee. Nak sedapkan hati lah kononnya, Turkey ni dah dekat dengan Jordan, manalah tau kopinya rasa lebih kurang sama. Haha.. Memandai je buat teori konspirasi sendiri. FYI, seumur hidup aku, aku tak pernah rasa Turkish Coffee ni macam mana. Sedap kot kan?
Menu.. Ikut rate semasa, JOD1.00 lebih kurang MYR5.30.. |
Turkish Coffee.. |
SEDAP LAH SANGAT! Masa first sip tu, terasa nak tersembur keluar kopi yang dah masuk ke dalam mulut tu. Haha.. Adoiyai. Rasanya kok macam ni? Kopi ke apa ni? Memang tak boleh telan. Ini testimoni ikhlas lah ye. Haha.. Pakcik tu dah macam geli hati tengok gelagat kami minum kopi ni. Aku pun tergelak lah. K Awa punya terkejut dengan rasa kopi tu, sampai tertumpah kopinya. Pakcik cepat-cepat datang tolong bersihkan, dan buatkan kopi yang baru. FOC tau! Bayangkan lah, berderai aku ketawa sampai tak boleh cover-cover dah. Ingatkan dah tertumpah tu, selamat dah, tinggal sikit je lagi nak kena minum. Sekali dapat kopi baru full cup. Hahaha.. Dah jadi macam cerita Mr Bean makan beef tartare kat hotel tu. Punyalah dia sorokkan tartare tu sana sini dalam pasu bunga, handbag orang meja sebelah, dalam poket bagai sebab tak sedap, last-last waiter datang bagi beef tartare yang baru. Sama lah feelingnya tu! Sampai keluar air mata aku ketawa. Tapi dah lama-lama tu, aku boleh terima lah juga Turkish Coffee ni, walaupun langsung tak kena dengan selera tekak aku. Tekniknya, kena hirup sikit-sikit hujung lidah. Tak boleh minum one shot terus. Hehe..
Simple one-man coffee shop.. |
Dah habis minum kopi, kami balik dulu ke hotel untuk solat dan rehat-rehat. Kemudian kami keluar semula untuk bertemu dengan Anis dan husbandnya si Kunang-Kunang yang baru tiba dari Jeddah. Anis dan Kunang ni merupakan founder kepada Our Touch Community (OT), NGO yang menganjurkan program voluntourism kami ke Jordan ni. Kiranya, boleh dikatakan hampir keseluruhan proses untuk mencari tempat, uruskan transportation dan accommodation, membuat kerjasama dengan local NGO, etc.etc., dilakukan oleh Anis dan Kunang. Kami tinggal datang je. Kalau tak silap aku lah. Aku memang betul-betul grateful dengan mereka berdua ni. Kalau tak kerana usaha Anis dan Kunang, mungkin lambat lagi lah aku nak menjejakkan kaki ke bumi Jordan ni.
Kami bertemu di Art Hotel (Anis dan Kunang datang-datang terus stay sana), dan kemudiannya terus ke Restoran Hashem yang letaknya beberapa langkah je dari Art Hotel. Boleh tahan ramai juga orang datang makan kat sini. Mana taknya, Restoran Hashem ni agak famous jugak lah. Banyak orang kenaaman dari dalam dan luar negara serta artis-artis tempatan pernah datang makan kat sini. Raja Jordan, Raja Abdullah II pun pernah datang dengan Permaisuri Rania ngeteh-ngeteh kat sini. Antara makanan yang ada kat sini ialah falafel, hummus, fol, fatat, fateerah dan juga pelbagai jenis sandwich. Sila lah Google setiap nama makanan tu kalau nak tau bentuk rupa parasnya macam mana. Bagi aku, makanan yang ada kat restoran ni bukanlah jenis makanan berat, sebab takde bernasi-nasi bagai. Lebih kepada kategori street food lah ni. Tapi street food yang berkelas sebab makan dalam kedai. Kami order falafel, hummus, fol, fries dengan salad dan roti. Nak bagitau lah, fol tu kan, sebijik macam kacang pool kat Johor nun, cuma takde telur goyang je kat atasnya. Dah memang asal usul kacang pool tu dari negara belah-belah sini, buat-buat terkejut pulak aku ni kan. Makan kat Restoran Hashem ni, kami spent JOD2.00 (lebih kurang MYR10.60) setiap seorang.
MAKAN!! |
Hari pertama menikmati makanan Jordan ni, aku rasa seronok. Semuanya, aku rasa sedap dan kena dengan tekak aku. Tapi kita tengoklah nanti macam mana. Kalau hari-hari makanannya sepesen macam ni, takde rasa pedas-pedas, bersiap sedia lah untuk merendam Maggi kari dan masak tomyam dalam rice cooker. Hehe..
Selepas makan, di luar Restoran Hashem, kami didekati seorang lelaki yang dressingnya ala-ala underground boss yang macam kita tengok kat TV tu, if you know what I mean. Aku macam dah cuak dah bila mamat tu mula bercakap dalam bahasa Arab dengan kami. Weh, siapa ni? Nasib baik lah Anis dan Kunang pandai berbahasa Arab sebab memang menetap kat Jeddah. Gaya percakapan pun macam nak cari gaduh je. Tapi, tau-tau je lah kan siapa yang pernah berurusan dengan Arab ni memang cakapnya macam tu. Macam kita ni ada buat salah je. But on the serious note, aku memang langsung tak tau apa yang tengah berlaku sekarang ni. Jantung tiba-tiba jadi laju. Perasaan berdebar-debar tu, dah macam apa entah. Alih-alih, entah macam mana kami semua dah masuk dan duduk dalam kereta lelaki 'boss' tu. Kalau kau, kau tak rasa seram ke?
Aku dan K Awa berdiam diri je, sebab seram punya pasal kan. Biar Anis dan Kunang yang berurusan dengan si boss tu. Baru dua hari kat Jordan ni, dah macam-macam drama yang muncul. Ada orang dapat tau kami nak buat aktiviti sukarelawan ke? Ada yang tak suka ke? Salah ke kami buat semua ni? Masuk as a tourist tapi pergi buat kerja-kerja amal? Ke mamat imigresen kat airport semalam tu hantar spy sampai ke sini? Hahaha.. Memang macam-macam dah dalam kepala aku ni. Setelah keadaan agak tenang, baru lah aku dapat tau si boss tu merupakan salah seorang yang biasa berurusan dengan Tasbeera, NGO tempatan yang bekerjasama dengan OT untuk program kat Jordan ni. Hahaha adeii, penat betul lah aku ni mencuakkan diri. Ye lah. Entah siapa-siapa kan, datang menghampiri pastu suruh masuk dalam kereta. Macam nak kena culik pun ada kot? Kenapa kena masuk dalam kereta? Sebab boss kata kat luar ni sejuk. Masuk lah dalam kereta, ada heater. Alamak tuan, berapa banyak dah aku ketawa hari ni. Penat dah pipi aku. Hahaha..
Dari dalam kereta ni, dengan si boss duduk bertenggek di tingkap macam ahli mesyuarat tingkap, urusan pembelian barang-barang untuk disumbangkan ke kem-kem pelarian pun dijalankan. Boss ni akan tolong cari dan belikan barang-barang yang diperlukan. Sementara Kunang jadi tukang cakap, aku dan Anis kat belakang jadi tukang kira duit. K Awa tukang ambik gambar. Dia punya situasi tu kan, dah macam gaya sesi jual beli barang terlarang pun ada jugak. Macam rahsia sangat, macam tak boleh orang lain tau. Kira duit pun senyap-senyap. Banyak pulak tu. Dah tu asyik salah kira je. Haha.. Macam-macam lah oii.
Tukang cakap.. |
Dah selesai semua, kami balik semula ke Art Hotel. On the way tu, singgah sekejap kat kedai phone untuk beli local simcard. Senang sikit bila ada local line dan data Internet ni. Nak roaming tak mampu oii, Maxis mahal kedaung rate roamingnya. Harga simcard yang dibeli ialah JOD10.00 je untuk data 1GB. Kalau tak silap aku lah. InsyaAllah, cukup untuk penggunaan 9 hari kat Jordan ni. Nak guna pun masa kat luar kawasan je. Dalam hotel, kita pakai wifi hotel.
Dah sampai Art Hotel, kami lepak sekejap kat lobby sambil-sambil orang-orang kuat OT ni sambung balik perbincangan yang seterusnya. Aku bukan ahli OT, tapi ahli menyemak yang sibuk nak ikut aktiviti OT ni, makanya aku duduk diam-diam je kat tepi. Then, kami pergi bertemu pulak dengan beberapa orang pelajar Malaysia yang ada kat Amman ni. Hat ni, kami pergi jumpa di luar downtown. Entah kat mana aku tak ingat. Mungkin kat Amman city center kot sebab nampak bangunan besar-besar dan agak moden. Jalan raya pun dah macam highway.
Perjumpaan dengan pelajar Malaysia ni, aku tak berapa nak ingat jumpa pasal apa. Rasanya pasal urusan transportation untuk ke sana sini kot. Pelajar Malaysia ni kenalkan OT dengan transportation company yang boleh dipercayai. Kalau tak silap aku lah. Dan, seperti kejadian tadi jugak, semua perbincangan dibuat dalam kereta. Interesting betul kan? Kita kat sini, bincang-bincang kat kedai mamak. Orang sana bincang-bincang dalam kereta. Hehe..
Perbincangan di lobby hotel.. |
Bincang-bincang lagi dalam kereta.. |
Segala urusan selesai lebih kurang pukul 9 malam, dan balik lah kami semua ke hotel masing-masing. Besok is another day. Hari untuk pindah hotel dan bertemu dengan semua sukarelawan yang join program ni. Ada 22 orang semuanya. 2 orang saja lelaki, dan selebihnya gegurls. Memang gegurls ni suka betul pergi jalan-jalan kan? Semua sukarelawan ni aku tak pernah kenal dan tak pernah jumpa melainkan my travelmate K Awa, dan officemate Cik Dil. Anis dan Kunang pun aku baru kenal hari ni. Macam-macam perasaan yang timbul. Boleh ke kepala aku masuk dengan mereka ni? Dan boleh ke kepala mereka masuk dengan aku ni? Skema kah mereka? Poyo kah mereka? Semuanya, we will see tomorrow lah ye.
Untuk menjawab persoalan awal pagi tadi, berbaloi ke tidak untuk go with the flow, main terjah-terjah je tanpa arah tuju? Aku rasa berbaloi sebab macam banyak benda yang berjaya dibuat pada hari ni, dan banyak kejadian yang boleh diceritakan semula untuk dibuat stok gelak-gelak. Next time boleh lah buat lagi. Hehe..
Till the next entry. Babai!
0 comments :
Post a Comment