Hari ni dah nak balik ke Busan dah. Flight yang dijadualkan adalah pada pukul 2 petang. Masih sempat lagi nak jalan-jalan seround dua sebelum pulangkan kereta dan bergerak ke airport.
Alkisah, pagi ni hujan lebat. Kira bersyukur sangat-sangat lah sebab dah hari terakhir kat Jeju ni baru turun hujan. Kalau tak, memang terbantutlah aktiviti jalan-jalan. Kalau dah lebat macam ni, jalan-jalan naik kereta je lah, tak dapat nak turun.
Dah lepas breakfast bagai, kami check out dan terus keluar dari hostel. Dah settle masukkan barang dalam kereta kami bergerak menuju ke Mysterious Road.
Misteri sangat ler.. |
Mysterious Road ni merupakan salah satu gravity hill yang ada kat dunia ni. Gravity hill ni merupakan satu tempat yang mana kawasan sekitarnya menghasilkan satu ilusi optik yang menyebabkan jalan menuruni bukit kelihatan seperti menaiki bukit. Eh, apa aku tulis ni. Lebih kurang lah kan. Kita nampak macam naik bukit tapi sebenarnya turun gitu.
Kita buat lah experiment tengok bak mai.
Tak panjang mana pun kawasan ilusi optik ni, pendek je. Dah tu ramai pulak orang, berbas-bas yang tiba, nak-nak hujan macam dah reda sikit. Masing-masing sibuk nak cuba try test ke'misteri'an tempat ni.
Stop sini.. |
Dah test gulingkan botol air naik bukit, dah test lepas handbrake biarkan kereta naik bukit, kami pun bergerak lah pergi. Kat kawasan sekitar Mysterious Road ni ada lah jugak beberapa tourist attractions yang boleh disinggah. Ada Jeju Museum of Art dan jugak Jeju Loveland. Jeju Loveland tu orang-orang dewasa je boleh masuk ye. Hehe.. Dua-dua ni within walking distance je dari Mysterious Road tadi. Kami takde lah nak singgah sini. Masih awal lagi, kedua-dua tempat ni pun masih belum bukak lagi.
Jeju Museum of Art |
Jeju Loveland.. |
Dari Mysterious Road kami ke stop yang terakhir sebelum pulangkan kereta iaitu Yongduam Rock. "Yong" tu dragon lah. "Duam" tu aku tak tau apa. Haha.. Tapi kalau ditranslate jadi "Dragon Head Rock". Kisahnya Yongduam ni terbentuk akibat hakisan ombak dan angin selama beribu tahun.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang 25 minit jugak lah dari Mysterious Road ke Yongduam Rock ni. Nak-nak kena masuk Jeju City balik, banyak ler kereta yang ada kat jalan tu. Hujan yang dah berhenti tadi, sambung turun balik. Lencun lah nanti kami kat Yongduam ni.
Masuk ke dalam Yongduam Rock ni tak dikenakan apa-apa bayaran kecuali parking. Rate dia kemain kira ikut minit. Kalau tak nak bayar mahal, jangan lah posing lama-lama kat sini. Hehe..
Parking rate.. |
Yok masuk!! |
Kisahnya, ada beberapa cerita tentang Yongduam ni mengikut lagenda setempat. Cerita yang pertama, katanya ada seekor naga ni tinggal kat dalam air dan bercita-cita nak naik ke langit. Belum sempat dia naik ke langit, dah terjadi batu. Cerita yang kedua pulak, ada seekor naga ni datang nak curi batu jade yang sangat berharga dari Mount Halla, tapi kena panah dengan dewa gunung. Jatuh lah dia kat Yongduam, badan masuk laut, kepala pulak tak sempat masuk laut dah jadi beku mendongak ke langit. Cerita yang ketiga pulak pasal seekor kuda ni berangan nak jadi naga. Kemain dia berangan kan. Baru nak naik ke langit, kena tangkap dengan askar lalu mengeras jadi batu. Gittew..
Dah masuk ke dalam, mula lah mata melilau cari kepala dragon nya. Aduilah, memang tak nampak sangat. Sebabnya, angle tak kena langsung. Kalau nak betul-betul nampak kepala dragon tu kenalah ambik gambar dari dalam air. Haha..
Err mana dragonnya? |
Ni je yang mampu.. |
Tu ha kat gambar atas ni, ada kepala dragon tu. Nampak tak? Itu dah paling terer lah tu angle aku snap gambar. Payah betul nak nampak dari sini. Kalau ambik dari dalam air boleh nampak macam gambar kat sini.
Dah habis ambik gambar, kami shopping buah limau lah pulak. Banyak gerai limau kat sekitar Yongduam Rock ni. Aku cuma mampu beli berapa biji je sebab mahal ya ampun. Haha.. Dekopon yang sebijik tu je harga dia RM18 kalau kena convert. Huwaaa.. Menangis lah wei..
RM18!! |
Ok, masa dah tiba untuk kami beredar. Kami pun pakai lah GPS untuk ke KT Kumho Car Rental untuk pulangkan kereta. Sebelum pulang tu, kenalah isi minyak bagi penuh dulu. Dah tu, kami sambung perjalanan. Kalau ikutkan GPS memang betul dah, you have reached your destination. Tapi tak nampak pulak celah mana KT Kumho ni. Salah ke no telefon yang kami masukkan ni. Siap masuk kedai lagi tanya orang. Agak lama jugak lah kami terpinga-pinga. Geram pun ada jugak. Haha.. Dah lama tu kan, baru nampak KT Kumho tu. Kat sebelah tu je. Aishh, macam mana lah boleh tak nampak. Tertutup pandangan kami dengan hantu Jeju agaknya. Haha..
Pulangkan kereta macam tu je. Staf situ tak check apa-apa pun, calar ke, ada benda rosak ke. Alhamdulillah sangat-sangat lah. Bukan lah sampai ada benda jahanam kami kerjakan, tapi ye lah kan, tak check langsung. Bagi kunci kereta, angkat beg dan terus kami naik shuttle bus yang ada kat situ untuk ke airport.
Pegi airport.. |
Tayo! |
Hujan kemain lebat ni. Langit memutih je. Harap-harap flight kami tak delay dek hujan ni. Kalau delay, memang lambat lah kami sampai kat Busan. Terbantut lah aktiviti kami kat Busan nanti.
Huhu lebat.. |
Siap pakai baju hujan onnie ni.. |
Dah siap check in, tunggu lah nak boarding. Aku, Mulan dan Sue akan balik ke Busan sementara Mel pulak akan ke Seoul. Kami berpisah kat sini lah. It's been a great 5 days merewang kat Jeju. Tapi aku ni, sentiasa tak puas gitu. Mesti nak datang lagi. Huhu..
Kaja! |
Limau siapa lah ni.. Gigih mengangkut.. |
Bertabah je lah, bila flight delayed sejam. Penat menunggu sampai ngantuk-ngantuk. Dah ngantuk tu, atas flight aku bantai tidur. Sedar-sedar dah landing kat Gimhae Airport. Ambik luggage bagai dan terus ke kaunter tiket bas. Serik oihh naik subway train! Tak nak dah aku! Rela naik bas dan turun kat Busan Station. Haha.. Harga tiket airport bus dari Gimhae Airport ke Busan Station ialah sebanyak KRW6,000.
Ingat-ingat lupa kaunter tiket bas.. |
Tiket berharga KRW6,000 |
Penuh! |
Kat Busan pun hujan. Sepanjang perjalanan ke Busan Station pun hujan lebat. Nasib lah. Memang tak boleh nak ke mana dah lah lepas ni. Pergi cari makan je lah gamaknya.
Hujan.. |
Dah sampai Busan Station, kami terus ke tempat tidur untuk dua malam ni. Kami memilih untuk stay kat Pusan Inn Motel yang letaknya jalan kaki tak sampai 5 minit dari Busan Station. Senang dekat macam ni. Nanti nak pergi airport pun mudah. Tapi kan, walaupun dekat, jalan punya jalan, memang tak jumpa. Peta yang ada kat website Pusan Inn tu macam tak betul je. Melilau kami dibuatnya. Aku lah yang rasa bersalah sangat-sangat, sebab aku yang book, tapi tak jumpa. Haha.. Dah lah basah lencun dah kena hujan. Last-last aku suruh kakak dua orang tu tunggu kat tepi kedai sementara aku pergi cari.
Last-last terpaksa minta tolong adik manis cashier dalam convenient store. Baik betul lah budak ni, siap guna handphone dia cari lokasi. Memang hampeh betul lah, dekat dah rupanya motel ni! Cuma kat lorong sebelah je. Map yang dibagi, kat lorong lagi satu. Ciss!
Kami check in untuk dua malam. Satu malam, satu bilik bertiga berharga KRW50,000. Berbaloi sangat lah ni. Luas pun ye. Dah settle semua, kami ke Jagalchi Market untuk pergi makan. Siap pinjam payung dengan owner motel sebab masih hujan.
Nak makan sashimi yay! Tapi harga dia ya ampun. KRW80,000 yang paling kecik noks! Berderau darah aku. Haha.. Tapi murah jugak rezeki aku bila Kak Mulan nak belanja. Weehuuu!! Bertambah-tambah seronok aku nak makan. Selain makan sashimi, kami makan jugak Haemultang.
Ini SIDE DISHES je hokkay!! |
Kenapa mahal sashimi ni? Ikan hidup dari dalam aquarium kot dia ambik. Sauk dengan penyauk terus dia siang. Fuh, memang fresh gila lah. Dah tu ada tiga jenis ikan pulak tu. Memang meriah. Nak makan sashimi ni, elok makan ramai-ramai sebab portion kecik pun banyak gila. Ni kami makan bertiga ni, rasa senak pulak nak ngabiskan. Dengan Haemultang lagi, dengan side dishesnya lagi. Aduilahh..
Sashimi!! |
Haemultang.. |
Total kerugian makan malam ni, entah aku tak kira berapa. Haha.. Yang penting, perut kami semua happy. Boleh lah tidur dengan tenang malam ni. Dah habis makan tu, terus balik ke motel. Nak jalan-jalan pun dah takde mood dek hujan. Seluar pun dah basah, kita balik berehat je lah kat motel.
Ok, selesai jalan-jalan hari ke-lapan edisi SK10D9N ni. Till the next entry!
Perbelanjaan keseluruhan hari ini:-
Yongduam Rock Parking = KRW250
Minyak Petrol 4 Hari = KRW16,000
Airport Bus Ticket = KRW6,000
TOTAL:- KRW22,250
0 comments :
Post a Comment