Friday, March 6, 2015

Namaste Mumbai! ~ Day 1: Mumbai and Museum

Saturday, 7th February 2015

Ok, jom masuk bandar Mumbai! Rasa macam seram sejuk je aku nak tinggalkan airport ni. Sebabnya, aku dah tau dah kan environment India ni macam mana secara amnya. K Awa pulak nampak excited, tak sabar-sabar nak tengok India. Nanti, tengok je lah dengan mata kepala sendiri. Aku nak explain pun tak reti macam mana. Hehe..

Dari airport kami menaiki teksi ke guesthouse yang kami dah book siap-siap di Malaysia. Nama guesthouse ni ialah Central Guesthouse. Ceritanya lah kan, tak ada satu pun gambar Central Guesthouse ni dekat website Agoda. Main belasah je buat booking mana yang paling murah. Guesthouse lain tu dah tahap luxury dah aku rasa. Bukan kedekut, tapi entah lah, tak cukup bajet tapi gatal nak jalan-jalan sebenarnya. Kita wait and see je lah ye. Kalau hampeh, hampeh lah jawabnya. Dalam hati aku, aku rasa guesthouse tu hampeh. Haha..

Kaunter teksi..


Dari CSIA ke Central Guesthouse, tambangnya ialah INR550 untuk teksi tak ada aircond, dan INR600 untuk yang ada aircond. Kat sini mula lah kami membuat aktiviti mencongak, berkira-kira mahal ke tidak teksi beraircond ni. Dah kira-kira, INR50 tu dalam RM3 je. Cis! Haha.. Tak payah lah menggedik nak berkira sangat tiga hengget tu kan. Terus ambik je teksi aircond. Sambil bayar sambil ketawa. Entah apa-apa punya berkira ni. Terus teringat pada kisah berkira-kira IDR1000 kat Surabaya dulu. Padahal tak sampai 30 sen pun. Dah bayar, orang kat kaunter tu pun bagi no plat teksi yang bakal kami naik. Teksi warna biru putih tau! Katanya lagi.

Keluar je dari arrival hall tu, baru lah kami dapat menghirup udara Mumbai. Lepas tu pening. Bukannya pening sebab udara tak best, tapi pening sebab BANYAK betul teksi yang ada kat luar ni. Ada yang warna hitam kuning, ada yang warna putih, ada yang warna hijau. Nasib baik lah uncle kat kaunter tadi dah sebut siap-siap warna biru putih. Kalau tak, menjajau lah kami nak beramazing race asia untuk trace satu-satu no plat teksi yang ada kat sini ni.

Teksi kami yang comel..

Teksi biru putih letaknya kat bahagian hujung. Punya lah comel teksi yang kami dapat ni. Boot belakang memang tak muat nak letak segala harta karun yang kami bawak ni. Terpaksa lah ditompok-tompok pada seat depan. Selebihnya letak kat bumbung teksi. Sangat terbaekk! Dah lah driver teksi ni seorang atuk yang kecik molek, dah tu kuat pulak tu mengangkat beg berat gila naik ke atas bumbung. Kesian pulak aku rasa, tapi dia relaks je. Macam ringan nau beg tu. Huhu..

Dah tu, kita jalan!

Matahari baru naik..

Nama je teksi ada aircond, tapi entah kenapa banyak gila nyamuk dalam teksi ni. Atuk driver ni ternak nyamuk kot dalam sini. Daripada ada aircond terus tak rasa apa dah sebab cermin tingkap dibuka untuk kasi nyamuk-nyamuk ni keluar. Sepanjang jalan pulak tu. Sampai ke guesthouse kami sedut asap kenderaan dari luar. Bukan setakat asap, telinga pulak kena tahan dengan bunyi hon yang tak berhenti-henti sana sini. Sadis betul. Haha..

Perjalanan dari CSIA ke Central Guesthouse mengambil masa lebih kurang 40 minit. Sepanjang perjalanan tu perasaan aku mula bercampur baur dah bila nampak homeless people di mana-mana. Masih awal lagi ni, makanya ada yang masih tidur, ada yang dah bangun mengemas-ngemas tempat tidur, ada yang mengangkat baldi berisi air untuk membersihkan diri, dan macam-macam lagi lah. Homeless pun bukan homeless seorang diri. Ada yang homeless sekeluarga. Anak berderet masih kecik, tidur di tepi dinding bangunan dan di kaki lima, mana yang boleh. Sedih bila tengok. Tak nak tengok, tapi tertengok jugak sebab jalan jem. Nak tak nak, terpandang jugak. Huhu..

Oklah, tak nak cerita sedih panjang-panjang, kita cerita saat kita sampai dah kat Central Guesthouse. Atuk driver berhentikan kami di tepi jalan besar yang agak sibuk. Eh, dah sampai ke? Terpinga-pinga juga kami ni. Atuk kata sampai dah. Dia pun terus keluar dan turunkan barang. Terdapat beberapa lelaki yang sedang melepak di kaki lima dok pandang-pandang kami. Jantung terus laju. Bukan sebab jatuh hati, tapi jatuh seram. Mata cepat-cepat melilau mencari di manakah gerangannya Central Guesthouse ni. Tiba-tiba salah seorang daripada lelaki yang melepak tu datang mendekati kami. "Where are you going mam?" Tanyanya. Suara aku entah macam tikus kot bunyinya bila sebut Central Guesthouse tu. Perlahan je ala-ala tak dengar. Tapi dia dengar! Terus dia cakp, "Oh, you have to go upstairs here mam." Hah, lega. Tu lah! Pikir macam-macam. Haha.. Tapi ye lah, dalam apa jua keadaan sekali pun, kita kenalah berwaspada, berhati-hati kan.

Eh kat mana ni..

Ingatkan dah lega dah kan. Sekali nak naik tangga ke atas tu, HORROR ya ampun. Ternganga, terdiam, terkedu, segala jenis ter yang keluar. What is this place? Hahahaha..

Ok, kita naik..
OH MY GOD!

Hoi, ini guesthouse ke bangunan tinggal ni? Hahahaha.. K Awa aku nampak, muka dia dah pucat. Hadoilah. Ini lah padahnya bila main booking je tanpa tengok gambar, baca review orang. Memang main belasah je. "Betul ke ni Yatt", tanya K Awa. Aku sebenarnya seram jugak, tapi buat-buat berani. Terus buat statement, "Well, this is India". Hahaha tobat mak!

Sebenarnya naik ke atas tu je yang seram. Dah sampai atas tu ok je. Masih awal pagi dalam pukul 8 lebih, nak check in pun belum boleh. Bilik ada, tapi tengah dikemas. Owner guesthouse kata lagi dua jam boleh lah check in. Sementara tu, boleh lah kita pergi sarapan dulu. Beg pulak, dah diangkut siap-siap oleh pekerja guesthouse. Dah lah berat, kena naik tingkat 3 pulak tu. Kita bagilah upah INR100. Suka bukan main dia. Padahal RM6 je kalau convert ke duit kita.

Ni lah guesthouse yang rasa horror tu. Haha..

Turun lah balik kami ikut tangga yang horror tu. Kami ke restaurant yang letaknya di tingkat bawah, betul-betul di bawah Central Guesthouse. Restaurant pure vegetarian yang bernama Anna Leela Veg Wonders. Disebabkan pure vege, boleh lah kita masuk ke dalam. Kat India ni kalau tak dapat nak cari makanan halal, kita boleh makan di kedai pure vegetarian. Tak perlu lah nak ikat perut sangat, melainkan makanan India ni tak boleh nak masuk anak tekak kau.

Mungkin masih awal, tak ada orang pun dalam restoran. Pekerja restoran tu pun terpinga-pinga nampak kami yang penampilannya lain daripada yang lain. Muslimah kat sana yang betul-betul cover up kebanyakannya pakai jubah hitam. Kami pulak warna-warni colourful bagai pelangi siap tudung lilit 20 kali. Betul-betul alien kami ni. Bila ku jeling-jeling, ada dua pekerja saling menolak untuk melayan kami. "Kau lah yang serve, eh aku pulak, aku mana tau cakap bahasa dia, kau lah. Eh kau lah." Gitteww... Last-last salah seorang mengalah. Diberinya menu. Menu dalam English. Pakai jari je lah tunjuk-tunjuk. Kang sebut nama makanan tu kang, tak paham pulak orang tu. Hehe..

Masih kosong..
Dapur kat belakang..

Kami order Masala Dosa dan Cheese Pakoda. Mula-mula dengar pasal makanan yang bernama dosa ni, masa zaman duduk Mysore dulu. Apa benda alah lah dosa ni. Sekali dah hidang depan mata, tosei rupanya. Hehe.. Marilah rasa balik tosei pure India. Pakoda ni pulak macam jemput-jemput. Cheese je yang ada. Kalau ada anchovies pakoda best jugak ni. Haha.. Mentel nau.

Share saja.. 

Sedap jugak lah dosa dia. Pakoda tu kurang sikit, sebab cheese dia sebijik-sebijik ketul besar. Tak cair rupanya bila digoreng. Kalau cair best lah jugak kan, boleh tarik-tarik. Fuhh, membayangkan je pun boleh bikin ngences. Hehe.. Banyak bunyi pulak aku ni kan. Entah-entah memang macam tu cheese pakoda, cheesenya harus keras kejung.

Dah habis makan, bil pun diminta. Pekerja yang melayan kami tadi tu pun datang lah bawa bil. Dah tu kena tanya soalan in Hindi. Aku boleh tangkap sath sath je. K Awa dah blur. Aku pulak terus ternyanyi dalam kepala lagu Hum Saath Saath Hain. Haha.. Gila sewel, penangan mabuk tengok cerita Hindustan zaman muda belia dulu. Aku angguk-angguk je lah, dengan andaian sath sath yang dia sebut tu sama dengan saath saath dalam lagu Hum Saath Saath Hain tu. Poyo tak? Confident je lebih. Hahaha.. Pekerja tadi pun tersenyum dan berlalu pergi.

K Awa macam terkagum "Ko paham Yatt?" Aku dah melekek dah. "Dia sebut saath saath kan tadi? Dia tanya nak bayar sekali ke asing-asing. Kita kata bayar sekali je." K Awa masih blur. "HAH?" Aku yang toya pun sambung "Saath Saath tu kalau ikut lagu dalam cerita Hum Saath Saath Hain tu subtitle dia tulis We Stay Together. Saath saath tu together lah." Hujahku dengan penuh yakin. Terus berhambur ketawa K Awa. Tak sia-sia jadi hantu Hindustan dulu-dulu khen? Apa-apa pun kita kena confident tu betul, walaupun entah betul ke tak tu. Tapi betul lah kan? Haha.. #JanganKecamSaya

p/s: Nukilan K Awa boleh dibaca di sini. Hehe..

Harga for both dosa dan pakoda ialah INR215. MAHAL doh. Aku rasa mahal lah sebab kalau dah diconvert ke RM jadi RM13. Makan tosei dengan jemput-jemput je kot. Patutlah tak ada orang kat restoran ni. Restoran mahal rupanya. Kalau kat tepi-tepi jalan tu agaknya tak sampai singgit kot kan harga tosei. Tapi kuasa ke ko nak pegi makan tepi jalan, tepi longkang tu? Tak pasal-pasal kena cherry berry pulak kang. Cukup lah sekali dulu kat Mysore di mana rombongan Malaysia seramai 100 orang berganti baton kena cherry berry sampai tak pergi kelas. Bila akka Suchitra bukak mulut je, semua sebulat suara kata diarrhea. Haha.. Kenangan sungguh.

Oh ya, masa dapat bil tadi, kami dapat candy jintan. Untuk cuci mulut selepas makan agaknya. Sedap jugak lah candy ni.

Candy Jintan..

Dah lepas sarapan, kami naik semula ke guesthouse. Bilik dah ready. Dah boleh masuk dah ke dalam. Dah masuk tu kan, memang cenonet sungguh lah biliknya. Katil pulak nak kata katil single, bukan. Nak kata katil double pun bukan. Katil single setengah agaknya. Hadoilah kelakar sungguh lah guesthouse ni. Terpaksa lah tidur rapat-rapat malam ni kalau tak nak tergolek jatuh. Dah lah masing-masing gebu. Hehe..

Our room..
Katil single setengah..
Hujung katil..
Jamban..

Cuba kau tengok lock pada pintu bilik tu. Kemain besar. Dah tu pakai mangga. Memang old school sungguh lah. Walaupun entah apa-apa, overall tu boleh lah. Setakat buat tidur je kan. Lepak-lepak lah kami sebentar mandi-mandi, charge tenaga, charge bateri segala gadget yang ada. Lepas zohor baru kami keluar semula.

Trip ke Mumbai ni, kami tak ada itinerari. Plannya nak santai-santai je. Tapi sebelum datang ke Mumbai, aku dah buat jugak la searching sikit apa yang menariknya kat Mumbai ni. Ada lah beberapa tempat yang aku rasakan menarik kat sini yang wajar disinggah. Cumanya, baru jot down nama tempat je. Direction ke sana, hampeh tak tau. Makanya sebelum keluar, kenalah cari segala info yang berkaitan sementara boleh access wifi di guesthouse. Kagum jugak lah kat diri aku sendiri sebab tak beli data plan untuk travel kali ni. Kalau tak, maunya menggelupur.

Bila tak dapat info, kami terus ke kaunter dan tanya owner guesthouse. Dia pun blur. Tak tau kat mana tempat kami nak pergi tu. Tu standard lah kan. Cuba orang tanya aku, eh rumah Monsopiad tu kat mana? Haremmm aku tak tau. Hahaha.. Tapi owner tu bagi jugaklah cadangan untuk turun kat satu stesen keretapi ni. Oklah, ke stesen keretapi lah kita.

Alamat retis Bollywood kat kaunter guesthouse. Boleh skodeng..

Ke mana kami nak pergi ni? Kami plan nak ke muzium. Hehe.. Sangat lah boring kan muzium-muzium ni? Tapi pedulik hapa sebab kami paling sukak masuk muzium! Muzium tu diberi nama Bhau Daji Lad Museum. Mengikut kata owner guesthouse, naik je keretapi dan turun di stesen Charni Road. So dari guesthouse ni macam mana nak pergi ke stesen keretapi terdekat? Dia kata jalan terus je. Jumpa lah stesen Mumbai Central.

Kupikirkan jauh, rupanya seberang jalan je Mumbai Central station ni. Tapi kena jalan lah sikit sebab stesen ni besar. Terus rasa senang hati, sebab senang betul nak bergerak ke sana sini dengan adanya stesen keretapi yang berhampiran. Tak sia-sia booking guesthouse horror ni. Haha..

Mumbai Central Station..

Mumbai Central Station ni agak sesak jugak lah. Tersangat lah ramai orang. Every hour is a peak hour. Kita pun kena himpit-himpit kena tolak-tolak ke tepi. Baru hari pertama kan, kesopanan dan kesusilaan dalam diri aku ni masih tebal lagi. Tengok lah besok lusa, terus jadi bulldozer langgar orang yang langgar aku. Hehe.. Dah masuk ke dalam tu, terus cari kaunter tiket. Boleh tahan panjang jugak queue yang ada, tapi laju queue ni bergerak. Dalam banyak-banyak queue tu ada juga queue for ladies. Bagus betul. Terus kami beratur kat situ.

Tapi ada jugak jantan tak guna ikut beratur sekali. Huh..

Kami membeli tiket untuk turun di Charni Road. Kalau mengikut jadual yang dipaparkan, Charni Road tu dua stops je dari Mumbai Central Station ni. Tak jauh mana lah. Harga tiket pulak INR5 je seorang. Dalam 30 sen duit kita je dek non. Aku dan K Awa sengih je bila dapat beli tiket 30 sen. Murah betei lah.

Tiket menghala ke stesen Churchgate..

Dah tu, terus lah ke platform. Ada 4 platform. Matai. Mana satu ni? Hehe.. Tapi nasib baik lah ada signage menunjukkan kat mana nak naik keretapi yang menuju ke stesen Churchgate. Kami pun turun lah dengan senang hati. Tapi kan, bila train dah sampai eh, bukan train ke Churchgate ni. Ah sudah. Kepelikan pun melanda. Tanya lah pulak orang-orang yang ada kat platform tu. Katanya kalau nak ke Churchgate kena naik ikut platform lagi satu. Waduh.. Bikin konpius betul ini signage. Mungkin sebelum ni memang pakai platform tu, tapi dah diubah tapi tak diupdate. Lepas ni nak kena hafal naik ikut mana.

Platform stesen Mumbai Central..
Tunggu train..

First time ni nak merasa naik keretapi India. Well, zaman kat Mysore dulu, pernah lah naik keretapi kat Ooty. Siap mengada-ngada nak berChaiyya Chaiyya lagi. Haha.. Hat yang tu pun sesak, apatah lagi yang kat bandar metropolitan macam Mumbai ni. Harus triple quadruple punya sesak lah kan. Keretapi pun datang menghampiri. Yang membuatkan aku ternganga dan terpegun, keretapi belum berhenti lagi dah ada orang terjun tiruk dari gerabak turun ke platform dan ada jugak yang dari platform melompat naik masuk ke dalam gerabak. Hey, kenapakah? Risau sangat tak dapat naik ke? Aiyoyooo.. Jangan kami pun kena buat macam tu jugak sudehhh..

Disebabkan baru nak mentry, punyalah sopan kami ni masuk ke dalam gerabak. Interesting jugak lah keretapi ni sebab tak ada aircond, cuma ada kipas je kat siling. Tingkap pulak terbukak. Pintu memang tak ada lah. Tu yang senang penumpang main lompat-lompat. Nasib baik tak ramai sangat orang. Takut aku kalau duduk rapat-rapat dengan lelaki India ni. Time ni lah, macam-macam wayang bermain dalam kepala. Ditambah pulak dengan scene-scene dari The Amazing Race bila mat saleh naik train, mereka dok pandang-pandang. Well, kena pandang lah jugak kami ni, sebab cun sangat kan. Kahkah.. Tapi takde lah sampai kena kacau ke apa ke. Nasib baik!

Ok, tak sampai 5 minit dalam train, kami pun turun di Charni Road Station. Dah tu mula lah menggagau cari Dr Bhau punya muzium tu. Terkebil-kebil sana sini. Last-last, tanya jugak orang local. Nasib baik lah kan dia tau kat mana muzium tu. Katanya, kami ni salah station dah. Dia suruh naik teksi je pergi ke sana. Bagitau dengan driver teksi nak turun di Rani Baug. Isy, orang nak pergi muzium. Ni permaisuri mana pulak ni dia nak suruh jumpa. Haha..

Charni Road Station..

Ye lah kan, sebenarnya salah kami jugak lah sebab tak cari info betul-betul. Semua nak main gamble je kan. Takde itinerary, takde plan. Main taram je. Konon-konon nak mengharapkan orang local untuk ke sana sini. Tapi hampeh, tak ramai yang tau. Mungkin masing-masing bukan orang Mumbai kan. Kesudahannya, salah jalan, buang masa, buang duit, buang karan. Padan muka.

Naik lah teksi. Driver tak pandai cakap English. Memang masak. Takkan aku nak cakap Hindi pulak kan. Tau tu memanglah tau sikit-sikit, tapi pronunciation tu takut ke laut, dia tak paham jugak. Sebut Dr Bhau Museum, dia tak tau. Sebut Rani Baug pun dia confuse. Tapi dengan confidentnya dia drive je. Sekejap-sekejap dia berhenti tanya direction dengan orang di tepi jalan. Dah tu dia berhenti kebingungan. Mata kumelilau. Sekali, nampak pulak dah Dr Bhau Museum tu di seberang jalan. Uih, terus excited suruh dia u-turn. Sampai jugak akhirnya. Ketawa si driver tu sebab tak pernah tau ada muzium kat sini.

Traffic in Mumbai = Traffic in Jakarta..

Tambang teksi dari Charni Road ke Dr Bhau Museum ialah sebanyak INR70 je. Tak sampai RM5. Boleh lah kan, tak lah mahal sangat. Ok, mari lah kita masuk ke dalam muzium.

Dr. Bhau Daji Lad Museum..

Dr Bhau Daji Lad Museum ni merupakan muzium yang paling tua sekali di Mumbai. Dibangunkan pada tahun 1855 dan dibuka kepada orang awam pada tahun 1872. Nama asal muzium ni ialah Victoria and Albert Museum, sempena nama Queen of England dan consortnya pada masa tu. Nak-nak masa tu, India ni berada di bawah pentadbiran British. Kalau tengok pada bangunannya pun memang ada influence dari barat. The first colonial building for museums in India gitu.

Harga tiket masuk ke dalam muzium ni ialah INR100. Baru nak masuk, dah banyak songeh jadinya sebab tak boleh nak bawak masuk beg ke dalam. Kalau backpack logic lah jugak, ni aku tengok pengunjung lain yang bawak handbag pun tak dibenarkan bawak masuk sekali. Ni pengunjung-pengunjung international ye. Yang local selamba kodok mak bapak dia boleh bawak pulak beg masuk ke dalam. Double standard betul lah. Belum apa-apa aku dah membebel kat situ. Mulut moncong sedepa. Ye lah, terpaksa lah aku pegang dengan tangan purse, camera, handphone, powerbank, segala tok nenek tu, jalan-jalan kat dalam muzium. Nak tinggal dalam beg kat kaunter, macam tak boleh percaya je orang yang jaga tu. Haha..

Interior..
Exhibitions..


Paling depan tu Queen Victoria..

Aku tak nak cerita panjang lah pasal muzium ni. Kesimpulannya, siapa nak tau lebih mendalam pasal Mumbai, kena lah datang ke muzium ni. Kat sini kita boleh belajar tentang sejarah mumbai, ekonomi yang dijalankan, demographic penduduk dan macam-macam lagi lah. Banyak sebenarnya. Kat muzium ni jugak lah aku baru tau yang Mumbai ni merupakan gugusan beberapa pulau. Ko tau? Aku tak. Haha.. Asalnya beberapa buah pulau, digabungkan dah tu macam ada expansion process and so on, jadilah sebuah daerah. Tapi kalau tengok bebetul dalam peta, memang boleh nampak yang kawasan Mumbai ni terpisah dari tanah besar India.

Penduduk India ni pulak terdiri daripada berbilang how to say ye, keturunan ke? Ataupun etnik? Lebih kurang lah kot kan, sebabnya ada orang Bhatia, Arab, Koli, Brahmin, Memon, Sindhi, Marathi, eh banyak lah. Seronok ni kalau nak ambik tau satu persatu.

People of India..
Medal Collection..
Ukiran pada gading gajah..
Macam estate kan?
Hasil dari tempurung kelapa..

Eh banyak lah benda yang ada dalam muzium ni. Tak larat nak cerita panjang-panjang. Kisahnya muzium ni ditukar nama dari Victoria and Albert Museum ke Dr Bhau Daji Lad Museum pada tahun 1997. Dr Bhau ni merupakan seorang doktor dan juga orang kuat muzium ni masa zaman Victoria dulu. Kiranya, nak beri penghormatan pada dia lah, nama muzium ni ditukar ke nama dia.

Dr Bhau Daji Lad..

Di bahagian belakang muzium, ada satu kawasan yang dipanggil sebagai Museum Plaza and Garden. Ni outdoor lah ni, nak kena keluar dari bangunan utama. Kat luar ni ada beberapa art sculpture dan juga patung-patung pemerintah tertinggi zaman Victoria dulu. Macam seram je tengok patung-patung ni sebab ada yang dah takde tangan, kaki dan hidung. Haha..

Cafe dan Souvenir shop pun ada jugak kat sini. Cumanya macam sendu je kedua-dua tempat ni. Kami tak teringin pulak nak masuk tengok-tengok apa yang ada. Agak-agak dah puas berjalan-jalan kat muzium ni, kami pun mula beredar. Untuk maklumat lebih lanjut pasal muzium ni boleh lah layari website Dr. Bhau Daji Lad Museum.

Dibuat dari metal balls..
Yang skirt melebeh tu Queen Victoria rasanya. Hehe..

Gitu gini dah pukul 4.30 petang dah. Rasa macam dah malas nak sambung pergi jalan-jalan. Kami membuat keputusan untuk balik ke guesthouse je. Hari ni kiranya kita belajar naik train dan asah communication skills dengan locals. Kot orang tu geleng-gelang kena paham maksudnya tu "Yes" bukannya "No". Hehe..

Dari muzium kami berjalan mengikut jalan besar menuju ke Byculla Station, stesen keretapi yang terdekat. Ini pun dapat tau selepas tanya orang kat muzium tadi. Kalau tak, memang buta arah ler tak tau nak menghala ke mana. Tak jauh mana, tak sampai 10 minit jugak lah berjalan. On the way tu, kami bertemu dengan sebuah taman rekreasi. Taman rekreasi ni namanya Rani Baug. Ohhh taman ke Rani Baug ni? Haha.. Sengal ya ampun sangat. Dah balik tu, baru tau Rani Baug ni jugak merupakan sebuah zoo. Haha, adoilah..

Asamboi?
To Byculla Station..
Byculla Station..

Ha, dah sampai kat stesen ni, kenalah cari tau macam mana nak balik ke Mumbai Central. Nak tak nak, kenalah pahamkan sikit-sikit tentang route keretapi di Mumbai ni. Route dia tak susah mana, tapi macam jauh je kalau nak tukar train tu. Kalau ikut map kat bawah ni, Byculla (line hijau) dengan Mumbai Central (line merah) macam dekat je, macam sebelah-sebelah je. Tapi nak pergi tu kena tukar train di Dadar Station. Oklah, kita belajar tukar train lah pulak petang ni. Harap-harap besok nak jalan-jalan, dah terer dah pasal naik turun train ni.

Mumbai Railway.. Source: Wikimedia..

Tungu lah train, tapi tak lama mana. Bila train lalu depan mata nampak lagi adegan penumpang lompat-lompat. Dah tu, nampaklah jugak kewujudan ladies coach. Walawei, kalau tau, memang dah naik ladies coach dah dari pagi tadi. So lepas ni, kena lah bukak mata besar-besar cari ladies coach. At least kalau bergesel pun, bergesel dengan perempuan. Hehe.. Tambang train dari Byculla Station ke Mumbai Central Station cuma INR10 sahaja. Manyak mulahhh!!

Ladies Coach..
Tiket Train..



Walaupun train ni tak lah laju mana, tapi ia sangat efficient. Gerabak banyak, dah tu kekerapan sangat lah kerap, tak perlu tunggu lama-lama. Tambang murah some more! Memang seronok lah aku naik train kat Mumbai ni. Cumanya, nak kena paham platform lah. Rajin-rajin lah bertanya dengan orang sekeliling kita. They are very helpful. Kalau malu nak tanya, sila buat muka blur. Mesti ada yang tegur lepas tu. Haha..

Jalan balik ke guesthouse..

Dari Mumbai Central Station, kami explore di kawasan sekitar tengok kedai-kedai yang ada. Berjumpa pulak dah dengan sebuah supermarket. Dah masuk supermarket ni, boleh lah beli sedikit groceries. K Awa ada bawak travel cooker dari Malaysia, boleh lah main masak-masak untuk menjimatkan kos. 

Dah on the way balik tu, kami ke seberang jalan dari guesthouse. Dah tu gigih mengsnap gambo guesthouse dari luar. Kalau kau tengok, kau rasa nak duduk tak kat guesthouse ni? Rasa-rasa kalau gambar ni ada kat dalam website Agoda tu, kau nak book tak? Hahaha.. 

Central Guesthouse..

Balik masuk bilik, owner guesthouse ganti tilam dalam bilik kami. Yang asalnya macam toto nipis je, ni yang diganti ni tebal sikit. Yang kagumnya, penjahit tilam datang jahit tilam tu on the spot dalam bilik. Jarum jahitan dia pergh. Macam jarum apek jahit Kassim Baba tu. Nganga je lah aku tengokkan. Malam ni boleh lah tidur tilam yang empuk sikit.

Tilam baru..

Dinner malam ni ala kadar je makan maggi telur dengan sambal ikan bilis. Tak lalu nak makan over-over sebenarnya takut cherry berry je. Lagi satu, baru satu hari kat Mumbai ni dah bergelen minum air mineral. Cuaca kat sini punya lah panas macam apa, sikit-sikit tekak kering. Memang kena buat stok air mineral banyak-banyak. Dah tu, beli air mineral ni tak boleh sebarangan tau. Kalau boleh, beli kat supermarket. Kalau beli kat tepi-tepi jalan, kena make sure seal penutup botol tu masih intact. Kalau tak, jangan beli. Sebab kemungkinan besar diorang refill air paip je tu. Kena lah hati-hati ye.

Periuk bawak dari Malaysia. Hehe..

Settled dah. The rest of the night, kami lepak-lepak surf internet. Susun itinerary untuk hari esok. Cari info sebanyak mungkin. Dah dapat direction, screencap pulak map. Lesson learnt. Kena pastikan kita tahu arah tuju kita supaya tak buang masa. Hehe..

Ok. Till the next entry!



Perbelanjaan Hari Ini:-

Airport Taxi = INR300.00
Porter = INR50.00
Breakfast = INR107.50
Tiket Keretapi = INR15.00
Taxi ke Muzium = INR35.00
Dr. Bhad Daji Lad Museum Entrance Fee = INR100.00
Groceries = INR76.5

TOTAL = INR684.00

0 comments :