Wednesday, November 21, 2018

Perkara-perkara Yang Membuatkan Kita Berterimakasih

Alhamdulillah, hari ini bertambah setahun lagi usiaku. Sedar tak sedar lagi beberapa tahun, aku akan memasuki alam 40an. Apa orang kata? Life begins at 40? Eleh, kalau dah 40an baru nak live your life, buat apa lah kan? Buang karan je. Hehe.. Tapi bila difikir-fikir, ada juga tu sebab-sebab kenapa baru nak mula "hidup" pada umur 40an. Mungkin ketika muda, hidupnya untuk orang lain, banyak tanggungjawab yang perlu dipikul dan tak sempat untuk mempunyai "me time" sendiri. Bila dah berusia sikit, baru lah dapat menarik nafas. Baru boleh nak menikmati kehidupan tu. Walaupun lambat, ada datang juga peluang tu di depan mata. Sesuai juga lah kan bak kata pepatah orang putih, it is better late than never gitu. ^___^

Photo by Christopher Martyn on Unsplash


Aku? Dari dulu memang "me time" sokmo. Hehe.. Iyolah, orang single mingle macam aku ni, tak banyak benda yang perlu difikirkan. Dari dulu, aku hanya perlu fikir tentang aku, aku dan aku saja. Sekali sekala aku fikir lah juga pasal keluarga, mak abah dan adik beradik. Hihi, macam selfish gila kan aku ni? Tapi, ye lah, mungkin sebab secara kasarnya, aku macam tak banyak tanggungjawab yang perlu dipikul. Jadinya aku boleh fokus banyak pada diri aku je. 

Jadinya, apa kaitan dengan tajuk entri ni? Kenapa tiba-tiba buat entri macam ni? Ramai yang datang menyinggah ke blog ni, mesti datang untuk membaca trip aku yang entah apa-apa tu kan? Tapi, yang ni kok nak sentimental, formal, proper bagai? Entah lah ye. Mungkin sebab hari ni merupakan permulaan "tahun baru" untuk aku, aku macam ada rasa mengada-ngada sikit nak buat "365 Days Blog Challenge". Gigih tak? Gigih tak? Haha.. Aku pun sebenarnya tak percaya diri aku segigih ni. Sebenarnya, tujuan aku nak buat "cabaran" ni adalah untuk mengasah balik skill menulis yang dah terendam jauh ke lubuk yang paling dalam gitu. Aku akan cuba untuk menulis setiap hari, dengan harapan semakin baik lah penulisan aku ni. Aku ni, ada juga lah cita-cita hendak menulis sebuah buku. Tapi, kalau ayat pun tunggang langgang, terbalik tertonggeng, susah jugak lah kan. Buat malu je kalau dah diterbitkan, orang dok gelakkan ayat kita yang entah apa-apa tu. 

Berbalik semula kepada tajuk entri ni, ni tajuk pertama untuk hari pertama dalam cabaran yang aku jumpa tu. Tajuk tu dalam English lah. What are you thankful for? gitu. Tapi disebabkan aku menulis dalam BM, kena lah tukar tajuknya dalam BM jugak. Tapi, kandungan entri ni masuk campur-campur rojak English - Malay. Akan kucuba untuk mengBMkan entri-entri yang akan datang. Bertabah je lah dulu ye.

Makanya, perkara apa saja lah yang aku berterima kasih sangat tu? Banyak sebenarnya. Mungkin aku boleh senaraikan dua tiga je lah kot. Kang banyak sangat, boring pulak korang nak baca.

Photo by Pro Church Media on Unsplash

Perkara pertama yang paling aku berterima kasih ialah, aku masih dapat bernafas di bumi ini walaupun 37 tahun sudah berlalu. Aku percaya ada di antara kita-kita ni dan orang yang kita kenal yang tak sempat nak sampai ke umur 37 ni. Makanya, Alhamdulillah, aku bersyukur sangat-sangat aku masih di sini. Dan aku berharap, aku dipanjangkan usia dan dikurniakan kesihatan tubuh badan yang berterusan. Bucket list aku masih panjang!

Perkara yang kedua ialah, aku berterima kasih banyak-banyak kerana aku masih belum ditemukan jodoh. Eh? Eh.. Haha.. Betul lah tu. Sebabnya, sampai ke usia macam ni, aku masih boleh berkepit di bawah ketiak mak aku. Bukannya yang dah kahwin tu tak boleh berkepit, cumanya aku ni boleh berkepit tanpa nak fikir tentang anak-anak lah, suami lah, apa lah. Nak kepit, kita kepit. Tak perlu nak fikir panjang-panjang. Haha.. Nak-nak, sekarang ni abah dah tak ada. Dah kurang seorang untuk aku kepit. Sementara mak masih ada, kita kepit lebih-lebih sikit. Itu pun aku cuma boleh kepit bila aku balik kampung. Seboleh-bolehnya sebulan sekali, aku akan cuba untuk balik ke kampung. Untuk mengepit. :P

Photo by Nikola Radojcic on Unsplash

Perkara yang ketiga, aku berterimakasih juga kerana mempunyai adik-beradik yang gila, sewel, sengal, tak berkira dan tak banyak songeh. Tak berkira dan tak banyak songeh tu yang paling penting. Aku ni duduk jauh dari keluarga. Apa-apa pun, adik beradik aku lah yang jaga mak, jenguk mak, urus rumah dan sebagainya. Aku sekadar membantu dari tepi je. Iyelah, aku banyak nampak dan baca kisah-kisah adik beradik yang berpecah belah, berebut harta lah, bila salah seorang daripada orang tua dah tak ada. Macam seram pun ye. Aku berharap kami adik beradik tak sampai ke tahap itu. Semoga Allah tetapkan iman kami adik beradik. Amin..

Perkara keempat, aku berterimakasih mempunyai kawan-ka... Eh, macam banyak pulak aku nak berterimakasih ni. Dah lah, sampai sini je lah. Karang tak pasal-pasal, sampai perkara ke duapuluh pulak karang aku senaraikan. Hehe.. Yang penting, aku memang berterimakasih pada banyak benda. Semoga ini akan membuatkan aku akan terus bersyukur dengan apa yang aku ada.


Ok, cukup untuk hari pertama cabaran 365 hari menulis entri. Semoga besok aku akan merajinkan diri untuk sambung menulis. 

Photo by NeONBRAND on Unsplash

Harap-harap lah rajin tu datang menyergah. Argggghhhhhhhh!!


p/s: Dun worry. Aku akan update juga tentang kisah jalan-jalan aku tu. Cumanya kena bertabah je lah tunggu mood menulis aku datang. Sementara tu, layankan je lah entri cabaran yang entah apa-apa ni. Hehe..

0 comments :